Utusan
Berjaya Corporation Bhd. (Berjaya) sedang berbincang dengan beberapa syarikat dari Amerika Syarikat untuk memperkenalkan beberapa perniagaan baru berkonsepkan francais dalam bidang makanan dan minuman ke negara ini.
Pengarah Eksekutif Berjaya, Datuk Francis Lee berkata, salah satu perbincangan tersebut dijangka dimuktamadkan sebelum akhir tahun depan.
Berjaya yang dimiliki jutawan, Datuk Vincent Tan itu terkenal dengan perniagaan francaisnya melalui rangkaian Starbucks Coffee, restoran Kenny Rogers Roasters, Wendy's dan yang terbaru Papa John's Pizza.
''Bidang perniagaan baru ini mungkin bukan berkaitan dengan piza ataupun makanan segera kerana kami memiliki restoran Wendy's, ia mungkin makanan baru yang dapat memenuhi keperluan pengguna semasa,'' katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif Berjaya, Datuk Robin Tan dan Naib Presiden Papa John's International Inc., Myless Felt.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Eksekutif Berjaya, Datuk Robin Tan dan Naib Presiden Papa John's International Inc., Myless Felt.
Menurut Lee, melalui perjanjian berkenaan, Berjaya Pizza, anak syarikat Berjaya dijangka membuka restoran Papa John's Piza menjelang pertengahan bulan Disember tahun ini dengan pelaburan antara RM800,000 hingga RM1 juta.
''Kami menjangkakan untuk membuka kira-kira 100 buah restoran bukan sahaja di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Perak tetapi juga di Sabah Sarawak dalam tempoh 10 tahun akan datang,'' katanya.
Tambah beliau, pembukaan restoran yang bakal dibuka di kompleks beli belah Berjaya Times Square di sini itu juga adalah yang pertama di rantau Asia Tenggara.
Untuk perancangan jangka panjang pula, Berjaya Pizza bercadang untuk mengembangkan perniagaannya ke Singapura, Vietnam, Indonesia, Thailand serta Filipina.
Ditanya mengenai kesan kenaikan harga kos makanan dan minuman ekoran peningkatan harga minyak yang sedikit sebanyak telah mengubah cara hidup rakyat negara ini, beliau berkata, permintaan terhadap makanan seperti piza tetap ada.
Sementara itu, Francis berkata, harga makanan dan minuman yang ditawarkan adalah kompetitif dengan produk yang ditawarkan oleh syarikat pesaingnya di negara ini.