a commitment to excellence

   
 
    
    

Utusan Malaysia

Berjaya Corporation Bhd. yang dimiliki oleh tokoh korporat tempatan Tan Sri Vincent Tan melalui anak syarikatnya Roasters Asia Pacific (M) Sdn. Bhd. (Roasters Asia) telah menguasai operasi rangkaian restoran Kenny Rogers Roasters di seluruh dunia.

Roasters Asia membeli kepentingan itu daripada Nathan's Famous Inc. dengan harga RM12.8 juta pada 23 April lalu.

Menurut Presiden Roasters Asia, Datuk Francis Lee (gambar), setelah pembelian itu selesai, misi utama pihaknya adalah meneruskan pengembangan perniagaan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau berkata, tumpuan syarikat kini adalah mengembangkan perniagaan dengan lebih pantas kerana peluang perniagaan kini lebih terbuka luas.

"Kami sekarang dalam proses menstruktur kakitangan dalaman kami, ini termasuk menambah tenaga professional sama ada di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.

"Tumpuan utama adalah pelaburan tenaga sumber manusia bagi memastikan jenama Kenny Rogers terus kekal dan mendapat sambutan di kalangan pelanggan global," kata Lee kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Selepas proses menyusun semula kakitangan, mereka akan mengorak langkah mengembangkan perniagaan dengan pembukaan beberapa cawangan baru.

"Proses pengembangan tersebut akan dimulakan dengan memasuki pasaran Timur Tengah terutama di Bahrain dengan cadangan pembukaan restoran sebanyak 10 buah.

"Kami percaya potensi pasaran Timur Tengah adalah besar, memandangkan kami akan menawarkan makanan halal di sana seperti juga kepada pasaran negara-negara Islam lain," jelasnya.

Selain itu, Lee berkata, di Indonesia Kenny Rogers akan mula bergerak dengan pantas melalui pembukaan cawangan restoran kedua di sana pada bulan depan, dan mereka menjangkakan dapat membuka kira-kira 20 lagi cawangan terutama di Jakarta.

"Rancangan peluasan global kami adalah membuka 50 buah restoran setiap tahun dan dalam tempoh lima tahun kami menganggarkan dapat membuka antara 500 hingga 600 buah restoran," jelasnya.

Ditanya mengenai usaha Roasters Asia untuk menjadikan Kenny Rogers sebagai jenama Malaysia berbanding sekarang yang lebih dikenali sebagai jenama Amerika Syarikat (AS), Lee berkata dalam masa terdekat mereka belum bersedia menukar status tersebut secara mengejut.

"Pelanggan dunia mengenali Kenny Rogers sebagai jenama AS kerana nama yang digunakan menjurus kepada penyanyi terkenal AS, kami belum memikirkan mengubahnya atau menjadikannya jenama Malaysia.

"Ini kerana permintaan terhadap makanan yang kami sediakan adalah bersifat universal dan boleh diterima oleh masyarakat dunia sekiranya kita memberi tumpuan terhadap makanan Malaysia sahaja, ia mungkin tidak mendapat sambutan di negara lain," tambah beliau lagi.





home | our logo | corporate profile | board of directors & other information
by business sectors | by listed companies | group addresses
financial summary | financial highlights | annual reports
corporate announcements | press releases | community
employment | feedback | sitemap

Copyright © 2002 Berjaya Corporation Berhad (554790-X)
Last Updated: 10th July 2007