Berita Harian
BERJAYA Corporation Bhd (BCorp) meraih keuntungan sebelum cukai RM1.18 bilion dalam tahun kewangan berakhir 30 April 2008, meningkat 330 peratus berbanding RM270.3 juta yang dicatatkannya tahun kewangan sebelumnya.
Ia diraihnya daripada pendapatan berjumlah RM3.5 bilion, meningkat 57 peratus daripada RM2.21 bilion.
Syarikat itu dalam kenyataannya semalam berkata, peningkatan keuntungan sebelum cukai itu antaranya disumbangkan penyepaduan Berjaya Sports Toto Bhd (BToto) ke dalam syarikat itu.
“Ia juga diraih daripada keuntungan luar biasa sebanyak RM938.1 juta daripada penempatan B-Land ICULS, keuntungan pelupusan hartanah KL Plaza dan 10 peratus kepentingan dalam Cosway (M) Sdn Bhd masing-masing RM88.5 juta dan RM79.9 juta,” katanya.
Selain itu, katanya, kumpulan turut meraih keuntungan daripada pelupusan pelaburan dalam anak syarikat lain bernilai RM96.8 juta serta kesan negatif ke atas pelaburan seterusnya dalam anak syarikat bernilai RM132.8 juta.
Bagi suku keempat berakhir lalu, kumpulan itu meraih untung sebelum cukai RM495.2 juta, meningkat hampir 740 peratus berbanding RM59.1 juta tahun sebelumnya.